Wednesday, September 21, 2011

SYAWAL PENUH KEINSAFAN

Oleh kerana sudah hampir sebulan blog ini 'bercuti'...entri kali ini adalah petikan tulisan Dr Asri-blog Minda Tajdid, yang sangat menarik perhatian Norma...penuh keinsafan di Syawal yang mulia ini.

Sudilah berkongsi hasil penulisan beliau ini: 

INSAF DALAM MENILAI SETIAP INSAN

Diri Sendiri

Jika setiap kita merenung kepada dirinya sendiri secara insaf, dia akan tahu dia juga banyak kesalahan dan dosa. Jika tidak dosa zahir, dosa batin; niat dan jiwa yang buruk seperti hasad, buruk sangka, takabur, riyak dan lain-lain. Jika tidak dosa pada perbuatan, dosa pada perkataan seperti mengumpat, memfitnah, menuduh, menjadi ‘batu-api’ dan pelbagai lagi.
Dosa-dosa batin dan perkataan ini kadang kala jauh lebih besar di sisi Allah daripada dosa-dosa peribadi seperti minum arak dan zina. Namun kita sering memandang ringan sedang ia besar. Firman Allah (maksudnya):
“ketika kamu menerima berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; dan kamu pula menyangka ianya perkara kecil, pada hal di sisi Allah adalah perkara yang besar dosanya”. (Surah an-Nur: 15).
Setiap kita juga ada rahsia keaiban yang tersendiri. Hanya kerana rahmat Allah masih tertutup keaiban itu. Kita berjalan dengan bangga di hadapan khalayak ramai serta merasakan diri suci. Sebenarnya, dalam banyak hal kita tidak suci, cumanya dosa kita tidak didedahkan kepada manusia. Kata al-Imam Ahmad dengan linangan airmata ketika dia dimuliakan: “Kami ini kesian. Jika tidak kerana tutupan Allah, nescaya akan terdedah aib kami”. Demikian tawaduknya imam yang agung itu.
Namun kita, lantaran merasakan diri suci, kita menghukum dan menilai dosa peribadi orang lain berlebihan sehingga seakan kita sunyi dari kesalahan. Dengan satu dosa sahaja, kita dedah dan hina seseorang dengan apa yang Allah sendiri tidak hina sedemikian rupa. Nabi s.a.w memberikan amaran:
“..jangan kamu mencari-cari keaiban orang muslim kerana sesiapa yang mencari keaiban orang muslim Allah akan mendapatkan keaibannya. Sesiapa yang Allah dapat keaibannya, maka didedahkan sekalipun dalam rumahnya”. (Riwayat Ahmad dan Abu Daud/ disahihkan al-Albani)
Seimbang
Islam menyuruh kita adil dalam semua perkara termasuk dalam membuat penilaian terhadap seseorang. Adil terhadap setiap pihak walaupun pihak kita benci dan bermusuhan. Allah menyebut (maksudnya):
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa”. (Surah al-Maidah: 8).
Al-Imam Muhibb al-Din al-Khatib menyebut:
“Kita kaum muslimin tidak beriktikad kemaksuman seseorang selepas Rasulullah s.a.w. Sesiapa sahaja yang mendakwa kemaksuman seseorang selepas Rasulullah s.a.w maka dia berdusta. Insan itu tetap insan. Terbit darinya apa yang terbit dari insan. Maka, ada padanya kebenaran dan kebaikan. Ada juga padanya kebatilan dan kejahatan. Boleh jadi kebenaran dan kebaikan pada insan tertentu dalam lingkungan yang luas, maka dia dinilai dalam kalangan ahli kebenaran dan kebaikan. Ini tidak menghalang untuk terjadi kepadanya beberapa kesilapan. Boleh jadi kebatilan dan kejahatan pada insan yang lain dalam lingkungan yang luas, maka dia dinilai dalam kalangan ahli kebatilan dan kejahatan. Ini tidak menghalang untuk tercetus dari beberapa cetusan kebaikan pada waktu-waktu tertentu.
Wajib kepada sesiapa yang berbicara mengenai ahli kebenaran dan kebaikan, jika dia tahu mereka ada beberapa kesilapan, janganlah dia rosakkan kebenaran dan kebaikan mereka yang banyak itu. Janganlah dipadamkan segala kebenaran dan kebaikan disebabkan kesalahan-kesalahan tersebut.
Wajib pula kepada sesiapa yang berbicara mengenai ahli kebatilan dan kejahatan, jika dia tahu ada beberapa cetusan kebaikan mereka, janganlah dia kelirukan orang ramai bahawa mereka itu dalam kalangan golongan yang soleh hanya kerana amalan kebaikan mereka yang jarang dan ganjil itu”. (Tahqiq al-‘Awasim min al-Qawasim, m/s 47. Beirut: Dar al-Jail).

1 comments:

en_me said...

insaf kanns.. uhuhu