Showing posts with label TAZKIRAH. Show all posts
Showing posts with label TAZKIRAH. Show all posts

Wednesday, September 21, 2011

SYAWAL PENUH KEINSAFAN

Oleh kerana sudah hampir sebulan blog ini 'bercuti'...entri kali ini adalah petikan tulisan Dr Asri-blog Minda Tajdid, yang sangat menarik perhatian Norma...penuh keinsafan di Syawal yang mulia ini.

Sudilah berkongsi hasil penulisan beliau ini: 

INSAF DALAM MENILAI SETIAP INSAN

Diri Sendiri

Jika setiap kita merenung kepada dirinya sendiri secara insaf, dia akan tahu dia juga banyak kesalahan dan dosa. Jika tidak dosa zahir, dosa batin; niat dan jiwa yang buruk seperti hasad, buruk sangka, takabur, riyak dan lain-lain. Jika tidak dosa pada perbuatan, dosa pada perkataan seperti mengumpat, memfitnah, menuduh, menjadi ‘batu-api’ dan pelbagai lagi.
Dosa-dosa batin dan perkataan ini kadang kala jauh lebih besar di sisi Allah daripada dosa-dosa peribadi seperti minum arak dan zina. Namun kita sering memandang ringan sedang ia besar. Firman Allah (maksudnya):
“ketika kamu menerima berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; dan kamu pula menyangka ianya perkara kecil, pada hal di sisi Allah adalah perkara yang besar dosanya”. (Surah an-Nur: 15).
Setiap kita juga ada rahsia keaiban yang tersendiri. Hanya kerana rahmat Allah masih tertutup keaiban itu. Kita berjalan dengan bangga di hadapan khalayak ramai serta merasakan diri suci. Sebenarnya, dalam banyak hal kita tidak suci, cumanya dosa kita tidak didedahkan kepada manusia. Kata al-Imam Ahmad dengan linangan airmata ketika dia dimuliakan: “Kami ini kesian. Jika tidak kerana tutupan Allah, nescaya akan terdedah aib kami”. Demikian tawaduknya imam yang agung itu.
Namun kita, lantaran merasakan diri suci, kita menghukum dan menilai dosa peribadi orang lain berlebihan sehingga seakan kita sunyi dari kesalahan. Dengan satu dosa sahaja, kita dedah dan hina seseorang dengan apa yang Allah sendiri tidak hina sedemikian rupa. Nabi s.a.w memberikan amaran:
“..jangan kamu mencari-cari keaiban orang muslim kerana sesiapa yang mencari keaiban orang muslim Allah akan mendapatkan keaibannya. Sesiapa yang Allah dapat keaibannya, maka didedahkan sekalipun dalam rumahnya”. (Riwayat Ahmad dan Abu Daud/ disahihkan al-Albani)
Seimbang
Islam menyuruh kita adil dalam semua perkara termasuk dalam membuat penilaian terhadap seseorang. Adil terhadap setiap pihak walaupun pihak kita benci dan bermusuhan. Allah menyebut (maksudnya):
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa”. (Surah al-Maidah: 8).
Al-Imam Muhibb al-Din al-Khatib menyebut:
“Kita kaum muslimin tidak beriktikad kemaksuman seseorang selepas Rasulullah s.a.w. Sesiapa sahaja yang mendakwa kemaksuman seseorang selepas Rasulullah s.a.w maka dia berdusta. Insan itu tetap insan. Terbit darinya apa yang terbit dari insan. Maka, ada padanya kebenaran dan kebaikan. Ada juga padanya kebatilan dan kejahatan. Boleh jadi kebenaran dan kebaikan pada insan tertentu dalam lingkungan yang luas, maka dia dinilai dalam kalangan ahli kebenaran dan kebaikan. Ini tidak menghalang untuk terjadi kepadanya beberapa kesilapan. Boleh jadi kebatilan dan kejahatan pada insan yang lain dalam lingkungan yang luas, maka dia dinilai dalam kalangan ahli kebatilan dan kejahatan. Ini tidak menghalang untuk tercetus dari beberapa cetusan kebaikan pada waktu-waktu tertentu.
Wajib kepada sesiapa yang berbicara mengenai ahli kebenaran dan kebaikan, jika dia tahu mereka ada beberapa kesilapan, janganlah dia rosakkan kebenaran dan kebaikan mereka yang banyak itu. Janganlah dipadamkan segala kebenaran dan kebaikan disebabkan kesalahan-kesalahan tersebut.
Wajib pula kepada sesiapa yang berbicara mengenai ahli kebatilan dan kejahatan, jika dia tahu ada beberapa cetusan kebaikan mereka, janganlah dia kelirukan orang ramai bahawa mereka itu dalam kalangan golongan yang soleh hanya kerana amalan kebaikan mereka yang jarang dan ganjil itu”. (Tahqiq al-‘Awasim min al-Qawasim, m/s 47. Beirut: Dar al-Jail).

Thursday, July 28, 2011

RAMADHAN

"Wahai orang-orang yang beriman, puasa telah diwajibkan ke atas kamu sebagaimana ia telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, mudah-mudahan (dengan puasa itu) kamu bertakwa."
::Al Baqarah 2:183::

Usai membaca Transformasi Ramadhan hasil tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, rasa bersemangat ingin membuat rumusan tentang apa yang Norma perolehi dan pelajari daripada bacaan yang sangat ringan dan mudah untuk difahami itu.  Mabrook buat Ustaz Hasrizal (@saifulislam.com) kerana 'kesantaian' hasil tulisan sebuah buku yang hanya mempunyai 151 mukasurat itu. 
Namun intipati dan rangkuman tulisan beliau menulis hal agama khusus berkaitan Ramadhan, amatlah berkesan di hati dan jiwa.  Tidak 'melampau' dalam menulis bab agama, sangat menyenangkan hati bila membacanya. 

Sahih, Islam itu sangat mudah dan praktikal buat semua...bukan sesuatu yang perlu 'dihenyak' atau 'digasak' ... cukup dengan sifat keterbukaan dan keikhlasan di hati, tiada paksaan...InsyaAllah...Islam untuk semua.

Justeru, Ramadhan bakal  membawa satu 'pembaharuan' kepada sesiapa yang membaca hasil tulisan beliau. Biar "beramal dengan ilmu, beribadah dengan takwa, bernyawa kerana agama"  ini bukan kenyataan beliau tetapi rumusan Norma sendiri terhadap pemahaman konsep Ilmu, Amal, Ibadah dan Takwa yang disampaikan di dalam Transformasi Ramadhan itu.  MasyaAllah.

Dari semudah-mudah amalan di bulan yang mulia, seperti "MELEWATKAN BERSAHUR, WALAU DENGAN SEBUTIR TAMAR DAN SETEGUK AIR" sehinggalah kepada "MENYEGERAKAN IFTAR/BERBUKA DAN JANGAN MELENGAHKANNYA"  itu antara rumusan ringkas di dalam buku itu. 
Bila tiba Ramadhan, semua orang berlumba-lumba melakukan kebajikan...tetapi apa jadi dengan 11 bulan yang lain itu?  Anak-anak yatim akan 'beribu bapa' semasa Ramadhan sahaja, dan kembali yatim selama 11 bulan selebihnya.  Bukan ini yang kita mahu apabila Ramadhan tiba...kebajikan dan amal itu biarlah berterusan biarpun dengan nilai yang sedikit sahaja, bukan 'dilambak' hanya semasa Ramadhan dan 'disorok' di bulan selainnya..hanya kerana 'adat' berbakti dan beramal itu hanyalah di bulan Ramadhan.  Kita beragama biarlah dengan ilmu bukan dengan adat!
Selain daripada itu, banyak juga yang Ustaz Hasrizal sentuh berkenaan BERTAKWA dan kaitannya dengan amalan berpuasa di bulan Ramadhan.  Jika kita melakukan sesuatu...perlulah yakin bahawa ianya kerana ALLAH SWT...dalam beribadat, seperti solat, zakat, puasa, menunaikan haji dan seterusnya...perlulah dengan istiqamah...menunjukkan keTakwaan kita kepada ALLAH SWT.  

Dalam berpuasa, ianya adalah latihan untuk kawalan diri ...namun, jika kita berpuasa dengan keTakwaan...kita akan mampu untuk mengawal diri sehingga selama-lamnya.  Memang lah di bulan puasa, mengawal diri dari makan dan minum dan segala yang boleh membatalkan puasa kita, tetapi kawalan diri kita selain daripada puasa itu adalah lebih hebat...mengawal daripada sifat amarah, dengki, melakukan maksiat, melampau dalam segala perbuatan, berlebih-lebihan...yang ini sebenarnya yang kita mahu dalam erti kata berTakwa itu.

InsyaAllah.  Di lain kelapangan dan kesempatan, Norma akan sambung lagi ye rumusan pembacaan Norma itu... 

Selamat Menjalani Ibadah Puasa di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan.  Jika kita tidak mampu melaksanakan impian kita di Ramadhan yang lalu, jadikanlah Ramadhan kali ini Ramadhan yang dinanti.  Penuhilah segala hajat dihati dengan sedikit ruang dan peluang yang ALLAH bakal beri kepada kita.  Bersyukurlah kepadaNya kerana diberikan nyawa untuk menjalani Ramadhan di kali ini, Alhamdulillah. 

Sunday, June 19, 2011

ILMU KAN TIADA PENGHUJUNGNYA...

Lama dah tercari-cari berkenaan amalan zikir dan doa ini, banyak pendapat dan banyak yang pernah didengar...namun tiada yang menyakinkan...sehinggalah bertemu dengan artikel di bawah.  

Diharap dengan tersimpannya di dalam blog sendiri, boleh dirujuk dan dijadikan panduan pada bila-bila masa...juga boleh dikongsi kepada yang lain.  Tapi kalau ada sesiapa yang ada dalil dan penjelasan yang sebaliknya, sudilah kiranya berkongsi dengan Norma ya... :-)

Semoga amalan berterusan dan diberkati ALLAH SWT...amin.
Bagaimanakah cara berzikir dan berwirid selepas solat menurut as-Sunnah? 

Kebiasaannya, masyarakat kita hari ini hanya mengikut amalan yang kita warisi dari orang-orang terdahulu dan kita tidak pernah bertanya dari mana sumbernya. Masyarakat kita juga sering berfikir bahawa asalkan amalan tersebut nampak baik maka tidak ada salah ianya dilakukan. Namun begitu, elok juga kita melihat beberapa dalil dan pandangan para ulama’ mengenai isu ini bagi tujuan menilai semula amalan kita sama ada ia benar-benar menepati maksud al-Qur’an dan hadis Rasulullah (sallahu’alaihi wasallam).
Firman Allah (subhanahu wata’ala) yang maksudnya;

“Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut, dan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang. Dan janganlah engkau menjadi dari orang yang lalai.”
(Surah al-A’raaf, ayat 205)

“Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas.”
(Surah al-A’raaf, ayat 55)

“Wahai manusia! Kasihanilah diri kamu kerana bukanlah engkau menyeru kepada Zat (Tuhan) yang pekak lagi jauh. Sesungguhnya engkau sedang menyeru kepada Zat yang Maha Mendengar lagi dekat bersama kamu”
(Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi dan Ibn Majah)

Banyak riwayat menunjukkan Rasulullah (sallahu’alaihi wasallam) ada berzikir dan berdoa’ selepas solat tetapi ia TIDAK dilakukan dengan cara beramai-ramai (berjemaah) secara berkekalan dan ianya dilakukan mengikut adab yang betul. Imam as-Syafi’i (rahimahullah) ada menyebut perkara ini yang di antara lain menyatakan bahawa:

“Saya (Imam Shafi’i) memandang baik bagi imam dan makmum, bahawa berzikir kepada Allah, sesudah selesai daripada solat. Kedua-duanya menyembunyikan zikir, kecuali jika dia (imam) mahu mengajar orang lain. Maka imam mengeraskan suaranya, sehingga dia melihat orang telah mempelajari daripadanya. Kemudian dia merendah (memperlahankan) suaranya.”
(Kitab al-Umm, Jilid 1)

Imam an-Nawawi (rahimahullah), ketika mengulas kaedah-kaedah berzikir selepas solat berjemaah, juga bersetuju dengan kesimpulan Imam as-Syafi’i (rahimahullah). Rujuk al-Majmu’ Syarah al-Muhadzab.

Imam al-Baihaqi (rahimahullah) ada menyebut bahawa:
“Bahawa zikir dan doa’ sesudah solat harus disirrkan (perlahankan) kecuali jika imam ingin mengajarkan zikir itu kepada manusia, maka dijaharkan (dikuatkan) supaya dapat dipelajari. Apabila sudah selesai dipelajari dan diketahui, maka zikir dan doa’ itu harus disirrkan (diperlahankan).”

(Kitab Zikir dan Doa’-Doa’ Rasulullah (sallahu’alaihi wasallam), Sunan al-Kubra)
Imam Ibnu Hajar al-Asqalani (rahimahullah) juga menyebut perkara yang sama bahawa:
“Tidak disukai mengeraskan suara waktu berzikir dan berdoa’. Demikianlah juga pendapat golongan salaf dari para sahabat dan tabi’en (orang selepas sahabat).”
(Kitab Fath ul-Baari, syarah Sahih Bukhari)

Kesimpulannya, para ulama’ bersetuju bahawa berzikir/berwirid selepas solat adalah secara bersendirian dan dilakukan secara perlahan-lahan. Berzikir secara beramai-ramai dengan suara yang kuat boleh menimbulkan gangguan kepada jemaah lain yang sedang bersolat iaitu bagi mereka yang masih meneruskan solat kerana terlewat (makmum masbuq) dan juga bagi mereka yang sedang solat sunat selepas itu (sunat ba’diah).
  
*Sumber artikel: laman NasbunNuraini 

Saturday, June 18, 2011

INSYAALLAH, SAMA-SAMA PERBAIKI...

Seorang ahli ibadah bernama Isam bin Yusuf, dia sangat warak dan sangat khusyuk solatnya. Namun dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasakan kurang khusyuk.
Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Isam dan bertanya : "Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?" Hatim berkata : "Apabila masuk waktu solat aku berwudhu' zahir dan batin."

Isam bertanya, "Bagaimana wudhu' zahir dan batin itu?" Hatim berkata, "Wudhu' zahir sebagaimana biasa, iaitu membasuh semua anggota wudhu' dengan air. Sementara wudhu' batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara :-

1. Bertaubat

2. Menyesali dosa yang dilakukan

3. Tidak tergila-gilakan dunia

4. Tidak mencari / mengharap pujian orang (riya')

5. Tinggalkan sifat berbangga

6. Tinggalkan sifat khianat dan menipu

7. Meninggalkan sifat dengki 


 Seterusnya Hatim berkata, "Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat. Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku bayangkan Allah s.w.t. ada di hadapanku, syurga di sebelah kananku, neraka di sebelah kiriku, malaikat maut berada di belakangku, dan aku bayangkan pula bahawa aku seolah-olah berdiri di atas titian 'Sirratul Mustaqim' dan aku menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhirku, kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik.

Setiap bacaan dan doa dalam solat kufaham maknanya, kemudian aku ruku' dan sujud dengan tawadhu', aku bertasyahhud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun." Apabila Isam mendengar, menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.

*Sumber artikel: 1001 Kisah Teladan

Sunday, June 5, 2011

ETIKA MEMUJI


Memberikan pujian kepada orang lain adalah termasuk di dalam komunikasi. Saya ingin menyentuh mengenai cara memberi pujian kepada orang. Ini kerana kadang-kadang, dengan pujian kita itu mampu menaikkan semangat orang dan kadang-kadang boleh merosakkan hidup mereka juga.
Dalam Islam, sesungguhnya pujian semata-mata kerana Allah, dan untuk Allah jua.

Islam melarang kita memberi pujian yang melampau kepada manusia kerana bimbang akan timbulnya perasaan riak dan takbur. Bahayanya memberi pujian ada dinyatakan di dalam hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

Diriwayatkan, Rasulullah s.a.w mendengar seorang lelaki memuji seorang lelaki lain, lantas Baginda s.a.w bersabda yang maksudnya:

"Malang kamu! Sesungguhnya kamu sudah memotong lehernya! Kemudian Baginda s.a.w menambah: "Sekiranya seseorang daripada kamu tidak dapat mengelak daripada memuji temannya maka hendaklah dia berkata, saya kira begini, jangan sekali-kali dia menyucikan seseorang mengatasi Allah." [Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Ini menunjukkan sekiranya kita mahu memberi pujian kepada seseorang, kita kena dahulukan dengan pujian kepada Allah. Kerana segala pujian itu, kita tujukan kepada Allah dan sesungguhnya segala kelebihan yang ada pada seseorang itu diberi oleh Allah s.w.t. 

Dengan itu, teman atau orang yang mendengar pujian itu akan sedar bahawa dia tidak memiliki apa-apa sekiranya tidak dikurniakan Allah dengan segala kebaikan atau kelebihan tersebut.

Pujian yang diberi itu kadang-kadang membuatkan orang yang mendengarnya mempunyai dua keadaan. Samada senang dengan jawapan itu atau terkadang tidak tahu apa nak dijawab/ serba salah.

Contoh selalu yang kita dengar:
"Awak ni cantiklah."
Jawapan yang selalu kita dengar:
"Eh, ye ke?" dan sebagainya.

Bagi mereka yang memang menanti untuk dipuji akan merasa gembira dan kegembiraan itu akan ditakuti membawa kepada dosa. Ia mampu untuk menjadikan orang tersebut berbangga diri dan merasakan dirinya saja yang terbaik. 

Mafhum hadis Rasulullah s.a.w. :
"Sesungguhnya perkara yang paling aku takuti menimpa kamu ialah kagum kepada buah fikiran dan diri sendiri. Sesiapa yang mendakwa dia orang yang beriman, maka sebenarnya dia kafir. Dan sesiapa yang mendakwa dia orang yang berilmu, maka sebenarnya dia jahil. Dan sesiapa yang mendakwa dia ahli Syurga, maka sebenarnya dia ahli neraka." [Hadis riwayat Ibn Marduwaih]

Namun begitu, kita perlu membezakan antara memuji (ada udang sebalik batu) dengan memberikan pengiktirafan dan penghargaan. Memberikan pengiktirafan dan penghargaan digalakkan bertujuan memberi galakan, melebarkan silaturahim dan mengeratkan kasih sayang.

Niat perlu dijaga sepanjang waktu. Contoh pujian atau penghargaan kepada isteri/ suami dan anak-anak, teman-teman atau sesiapa sahaja.

Dan seeloknya kita mengucapkan ucapan tahniah sekiranya sesuatu kebaikan yang dia terima sebagai penghargaan.
Oleh itu, mulai sekarang mari kita sama-sama melakukan perubahan. Kita memberi pujian secara ikhlas kepada anak-anak kita, pasangan, teman-teman atau sesiapa saja dengan pujian terhadap Allah dahulu dan seterusnya memberikan penghargaan kepada mereka.

Cara beri pujian. "Masya-Allah, cara awak menyampaikan ucapan tadi sangat berkesan, tahniah."

Dan sekiranya kita yang menerima pujian, teruskan lah memuji Alllah, kembalikan pujian itu kepada Allah, kerana kita tiada punya apa-apa kerana semua yang kita miliki adalah pinjaman daripada Allah jua.

Cara menjawab: "Alhamdulillah. Milik Allah jua. Saya cuma menyampaikan yang terbaik."

Oleh itu, sama-samalah kita menjaga lisan kita agar peribadi kita sentiasa dalam keadaan baik dan mendapat berkat Allah, walaupun perkara itu jarang kita perasan dan tidak pernah terfikir dengan perkara-perkara kecil, mungkin akan menjadi bonus untuk timbangan kita di Padang Mahsyar nanti, Ameen.

Saya akhiri dengan terjemahan ayat:
"Segala puji hanya untuk Allah, Pencipta dan Penguasa seluruh alam." [Surah al-Fatihah, ayat 2]

*Sumber artikel: iLuvIslam.com*

Tuesday, May 31, 2011

GO BACK TO THE REALITY...


Norma nak berhenti berangan. Terlalu berangankan sesuatu yang melalaikan dan hanya berasaskan kepuasan diri semata-mata dan nampak sia-sia. Mungkin jika berangankan sesuatu yang mendatangkan faedah kepada diri, keluarga dan masyarakat dan yang paling penting 'berangankan' untuk memperolehi keredhaan ALLAH SWT dan yang mampu membawa diri ke pangkal jalan, InsyaAllah.

Dengan 'angan' sebegitu...kita ada 'drive' untuk melakukan sesuatu demi kebaikan yang ingin diperolehi. Semoga jiwa dan hati kita lebih dekat dengan Maha Pencipta.

Suratan atau kebetulan, terjumpa kisah di bawah ini, sekadar berkongsi dengan pembaca. Semoga ALLAH berikan petunjuk dan hidayah berpanjangan buat insan yang kerdil dan dhaif ini....amin.



Luqman Al-Hakim menasihati anaknya: "Wahai anakku, apabila perut dipenuhi makanan, maka gelaplah fikiran, bisulah lidah dari menuturkan hikmah (kebijaksanaan) dan malaslah segala anggota badan untuk beribadah."

Sahabat Nabi, Abdullah Mas'ud berkata: "Empat perkara yang menggelapkan hati atau melembapkan otak: perut yang terlalu kenyang, berkawan dengan orang yang suka membuat maksiat, tidak insaf terhadap dosa yang lalu dan panjang angan-angan."


Wallahuallam.

*tapi Norma tak nafikan "the power of dreams....it makes people strive harder...be better...depends on what you dream of...peace!"* :-)