Thursday, July 28, 2011

RAMADHAN

"Wahai orang-orang yang beriman, puasa telah diwajibkan ke atas kamu sebagaimana ia telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, mudah-mudahan (dengan puasa itu) kamu bertakwa."
::Al Baqarah 2:183::

Usai membaca Transformasi Ramadhan hasil tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, rasa bersemangat ingin membuat rumusan tentang apa yang Norma perolehi dan pelajari daripada bacaan yang sangat ringan dan mudah untuk difahami itu.  Mabrook buat Ustaz Hasrizal (@saifulislam.com) kerana 'kesantaian' hasil tulisan sebuah buku yang hanya mempunyai 151 mukasurat itu. 
Namun intipati dan rangkuman tulisan beliau menulis hal agama khusus berkaitan Ramadhan, amatlah berkesan di hati dan jiwa.  Tidak 'melampau' dalam menulis bab agama, sangat menyenangkan hati bila membacanya. 

Sahih, Islam itu sangat mudah dan praktikal buat semua...bukan sesuatu yang perlu 'dihenyak' atau 'digasak' ... cukup dengan sifat keterbukaan dan keikhlasan di hati, tiada paksaan...InsyaAllah...Islam untuk semua.

Justeru, Ramadhan bakal  membawa satu 'pembaharuan' kepada sesiapa yang membaca hasil tulisan beliau. Biar "beramal dengan ilmu, beribadah dengan takwa, bernyawa kerana agama"  ini bukan kenyataan beliau tetapi rumusan Norma sendiri terhadap pemahaman konsep Ilmu, Amal, Ibadah dan Takwa yang disampaikan di dalam Transformasi Ramadhan itu.  MasyaAllah.

Dari semudah-mudah amalan di bulan yang mulia, seperti "MELEWATKAN BERSAHUR, WALAU DENGAN SEBUTIR TAMAR DAN SETEGUK AIR" sehinggalah kepada "MENYEGERAKAN IFTAR/BERBUKA DAN JANGAN MELENGAHKANNYA"  itu antara rumusan ringkas di dalam buku itu. 
Bila tiba Ramadhan, semua orang berlumba-lumba melakukan kebajikan...tetapi apa jadi dengan 11 bulan yang lain itu?  Anak-anak yatim akan 'beribu bapa' semasa Ramadhan sahaja, dan kembali yatim selama 11 bulan selebihnya.  Bukan ini yang kita mahu apabila Ramadhan tiba...kebajikan dan amal itu biarlah berterusan biarpun dengan nilai yang sedikit sahaja, bukan 'dilambak' hanya semasa Ramadhan dan 'disorok' di bulan selainnya..hanya kerana 'adat' berbakti dan beramal itu hanyalah di bulan Ramadhan.  Kita beragama biarlah dengan ilmu bukan dengan adat!
Selain daripada itu, banyak juga yang Ustaz Hasrizal sentuh berkenaan BERTAKWA dan kaitannya dengan amalan berpuasa di bulan Ramadhan.  Jika kita melakukan sesuatu...perlulah yakin bahawa ianya kerana ALLAH SWT...dalam beribadat, seperti solat, zakat, puasa, menunaikan haji dan seterusnya...perlulah dengan istiqamah...menunjukkan keTakwaan kita kepada ALLAH SWT.  

Dalam berpuasa, ianya adalah latihan untuk kawalan diri ...namun, jika kita berpuasa dengan keTakwaan...kita akan mampu untuk mengawal diri sehingga selama-lamnya.  Memang lah di bulan puasa, mengawal diri dari makan dan minum dan segala yang boleh membatalkan puasa kita, tetapi kawalan diri kita selain daripada puasa itu adalah lebih hebat...mengawal daripada sifat amarah, dengki, melakukan maksiat, melampau dalam segala perbuatan, berlebih-lebihan...yang ini sebenarnya yang kita mahu dalam erti kata berTakwa itu.

InsyaAllah.  Di lain kelapangan dan kesempatan, Norma akan sambung lagi ye rumusan pembacaan Norma itu... 

Selamat Menjalani Ibadah Puasa di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan.  Jika kita tidak mampu melaksanakan impian kita di Ramadhan yang lalu, jadikanlah Ramadhan kali ini Ramadhan yang dinanti.  Penuhilah segala hajat dihati dengan sedikit ruang dan peluang yang ALLAH bakal beri kepada kita.  Bersyukurlah kepadaNya kerana diberikan nyawa untuk menjalani Ramadhan di kali ini, Alhamdulillah. 

0 comments: