Tuesday, July 12, 2011

KEPULANGAN YANG DINANTIKAN...

Hampir lupa nak menulis di blog rupanya...kikikikkikkk.  Tahu lah dah balik Malaysia bercuti...blog pun kena cuti gak ke??  Adoiiiii cik Norma....sibuk sangat ke? 

Norma dah hampir seminggu di bumi Malaysia tercinta...tiada kata yang dapat menggambarkan betapa bahagianya dapat kembali ke tanahair yang tercinta.  Kebetulan pulang hampir dengan tarikh perhimpunan BERSIH...takut juga tak dapat kembali ke Dungun bila tiba di KLIA tempohari.  Dua hari sahaja di rumah mak di Sentul, sehari sebelum BERSIH...kami bertolak balik ke Dungun, Alhamdulillah, ALLAH permudahkan segala urusan.  Cuaca dan udara di Dungun ni, lebih BERSIH dari Kuala Lumpur...hehehehe...

Pada hari Jumaat, 8 Julai lalu, sebelum kami bertolak ke Dungun, Norma sempat menjenguk nenek Norma (mak arwah abah Norma) di Kampung Melayu Subang.  Sejak beliau terlantar sakit, bapa saudara dan mak saudara Norma yang menjaga beliau.  Syukur Alhamdulillah kerana mereka sanggup berkorban dan meluangkan banyak masa menjaga nenek.  Mula-mula nenek di rumah bapa saudara di Melaka, kemudian dibawa tinggal bersama mak saudara bungsu Norma di Subang....sehinggalah nenek menghembuskan nafas terakhir beliau di situ tanggal 10 Julai, 2011...  hanya 2 hari selepas Norma sempat menjenguk arwah. 

Norma masih ingat lagi, sejak tinggal di Saudi, dan setiap kali pulang ke Malaysia...Norma pasti melawat arwah di kampung, Bukit Rambai Melaka.  Akhir pertemuan Norma semasa arwah masih segar lagi adalah pada tahun lepas, bulan Disember 2010.  Ketika itu arwah masih boleh bercakap, duduk dan sempat melihat wajah Hadeed yang ketika itu berusia 5 bulan.  Arwah sibuk bertanya perihal Hadeed yang dilahirkan di Arab Saudi...walaupun Norma perasan, yang arwah bertanyakan soalan yang sama hampir berulang kali.  Mak kata, "nenek dah tak berapa ingat..tapi nenek masih segar" 

Kali ini, setelah 6 bulan berlalu, subhanAllah...pertemuan Norma dengan arwah tempohari, amat menyentuh perasaan Norma.  Nenek sudah tidak mampu membuka mata, apatah lagi bersuara.  Tubuhnya lesu dan tidak bermaya, hanya nafas di dada yang turun naik sahaja kelihatan.  Nenek 'menjadi' terlalu 'kecil, terbaring mengiring di atas katil.  Mak Busu kata, "bahagian belakang nenek dah luka teruk, sebab terlantar sangat lama, walaupun 'dressing' dilakukan setiap hari oleh Pak Busu..."  Doktor kata, nenek terlalu uzur dan badannya sudah tidak mampu mengeluarkan apa-apa tindakbalas untuk menyembuhkan luka, selain mencuci, mengeringkan dan menggantikan balutan.  Namun, jantung beliau masih elok dan hanya itu sahaja yang membuat nenek 'bertahan' sehingga sampai masanya ALLAH menjemput beliau. 

Norma bacakan surah-surah An-Nas, Al-Falaq dan surah Al-Ikhlas buat nenek, sebab hati memang sangat terasa, ini bakal menjadi pertemuan terakhir Norma dengan nenek sepanjang hayatnya.  Norma usap tangannya yang sudah hampir kaku...keras dan sangat kering.  Norma usap kepala nenek dan mohon maaf daripada nenek di atas segala kesalahan Norma dari kecil hingga dewasa.  Ketika itu juga, Norma memberi harapan yang ALLAH akan memelihara kesihatan nenek dan nak lihat nenek segar kembali walaupun di hati telah sangat merasakan, ianya mustahil, hanya ALLAH yang Maha Mengetahui.  Tidak lupa Norma juga memohon kepada ALLAH agar mengampunkan segala dosa-dosa nenek.  Selesai bisikan dan usapan itu, mata nenek bergerak-gerak walaupun tertutup sepanjang hampir 2 jam itu, nampak juga tekak nenek juga bergerak-gerak ... di hati kecil Norma, sangat merasai yang nenek 'tahu' Norma datang melawatnya.  Norma cium dahi nenek berkali-kali walaupun tiada apa pun aroma yang keluar...segalanya sangat kaku dan lesu, tapi Norma sangat bersyukur dapat menjenguk nenek buat kali terakhir, sangat bersyukur dapat pulang ke Malaysia kali ini...semuanya ketentuan Illahi, MasyaAllah.

2 hari selepas pertemuan itu, Norma mendapat panggilan telefon daripada kak long jam 2 pagi, menyampaikan berita pemergian nenek.  Norma akui, tidak menangis sedikit pun...tiada air mata pun tumpah dengan berita itu...kerana sudah berderai air mata Norma semasa pertemuan terakhir tempohari...dan seperti Norma nyatakan...hati Norma sudah merasai akan 'pemergiannya'...Norma redha dan sangat bersyukur, keperitan dan kesakitan yang nenek alami sudahpun  berakhir...ALLAH lebih sayangkan nenek.  Semoga ALLAH mengampunkan segala dosa-dosa nenek sepanjang hayatnya, dan menempatkan Allahyarhamah Hajjah Nyonya di kalangan para solihin....amin.

4 comments:

nurazzah8 said...

Salam NJ..Alhamdulillah dah selamat sampai ke tanah air...IA berapa lama ada kat Malaysia? kalau ada disekitar area Shah Alam roger2 lah akak ya..boleh kita jumpa...

NJ ..tatkala akak baca n3 NJ kali ini, air mata akak juga tumpah tanpa dpt di tahan...seperti akak juga berada di situ...semoga arwah nenek NJ di tempatkan di kalangan orang2 yang beriman ...Amin...

nj said...

Kak Azzah..
Terima kasih. InsyaAllah. Alhamdulillah, selamat semuanya. Saya ada di Dungun ni sehinggalah menjelang Aidilfitri. Semasa balik ari tu, sempat 2 hari je di KL. Jemputlah datang ke rumah kalau ke Pantai Timur.

G-JaH said...

sedih baca n3 angah..teringat time kecik2 dulu..kalo ikut mak balik melaka, mesti singgah jumpa nenek..ingatan arwah kuat, walaupon jah dah dewasa time kali terakhir jumpa arwah..n nenek sangat baik orgnya..Al-Fatihah untuk arwah..

luthfil n haikal dah selamat bersunat?

nj said...

Jah..
Thanks Jah sebab masih ingatkan arwah nenek :-)